Entri dalam blog ini yang paling mendapat komen, ulasan dan perhatian ialah BERILAH KEMAAFAN itu. Begitu sukar, tetapi itulah yang menjadi penghalang kita menuju Allah. Sesuatu yang paling sukar itu sebenarnya “marhalah” yang paling sukar dalam jalan mujahadah kita. Ingat saudara/i ku, teliti dengan sedalamnya apa yang paling sukar dan menusuk hatimu saat ini dan kebanyakkan saat-saat mu dalam kehidupan ini. Hingga terasa dalam hatimu, “kalaulah masalah@orang@perkara ini selesai… maka tenanglah hidup ku. Kenapa yang satu ini cukup mengganggu aku?”
Sebenarnya, itulah, dialah, perkara itulah… jika dapat diatasi berpandukan akidah, syariat dan akhlak yang baik, akan membawa kita jauh ke hadapan dalam perjalanan menuju Allah. Yang paling sukar itulah MAHAR cinta Allah. Allah letakkan mahar itu mungkin pada… manusia yang paling kau “benci”, mungkin pada perkara yang paling ingin kau lari daripadanya, mungkin kepada “penyakit” yang paling kau sedang hadapi kini atau apa-apa sahaja yang paling menekan, menyusahkan dan membimbangkanmu!
Sahabatku, jangan lari. Tetapi hadapi. Jangan mengelak , tetapi berdepanlah. Terimalah realiti walaupun pahit atau pedih amat. Itulah anak tangga yang kau mesti pijak untuk melonjak ke daerah tinggi.Jika kita lari, pasti anak tangga yang sama akan memburu dan menghantui kita dalam rupa yang berbeza tetapi mesejnya tetap sama. Kita tidak akan naik ke kelas atas, kita selamanya akan berada di kelas itu juga. Begitulah kata mereka yang arif, cara Allah mendidik kita dalam universiti kehidupan ini.
Perkongsian ilmu dari seorang ustaz: http://genta-rasa.com/2009/09/17/madah-hati-di-aidil-fitri/
No comments:
Post a Comment